Apple Melancarkan Apple Pencil Dengan Port Pengecasan USB-C

Apple Pencil merupakan aksesori yang wajib bagi pengguna iPad untuk menulis nota, melukis atau membuat lakaran. Jika anda pengguna iPad Mini, iPad Air atau iPad Pro dengan port pengecasan USB-C, anda terpaksa menggunakan Apple Pencil generasi kedua, yang merupakan aksesori yang menarik, tetapi agak mahal. Namun begitu, jika anda pengguna iPad yang lain, anda terpaksa menggunakan Apple Pencil generasi pertama, yang mana cara yang paling senang untuk mengecas aksesori tersebut adalah sangat menjengkelkan di mana anda akan cucuk Apple Pencil anda pada port pengecasan iPad (ya, agak pelik!).

Terbaru, Apple baru sahaja melancarkan Apple Pencil yang lebih murah. Jika anda pengguna iPad yang menggunakan pengecasan USB-C, termasuklah iPad generasi ke-10, yang sebelum ini cuma boleh menggunakan Apple Pencil generasi pertama, Apple Pencil yang terbaru ini merupakan alternatif terbaik.

Sumber: Apple

Harga Apple Pencil terbaru ditawarkan pada harga RM399, di mana RM200 lebih murah daripada generasi kedua dan RM80 lebih murah daripada generasi pertama. Rupa paras Apple Pencil terbaru ini sama seperti generasi kedua. Yang membezakan keduanya adalah di hujung atas Apple Pencil baru ini boleh ditarik untuk memperlihatkan port pengecasan USB-C di bahagian sisi rata untuk menghubungkan iPad dengan Apple Pencil atau mengecas aksesori tersebut.

Apple Pencil terbaru ini juga boleh diletak di sisi iPad anda seperti generasi kedua dengan bantuan magnet. Anda hanya perlu halakan sisi rata ke arah iPad untuk meletakkan Apple Pencil anda. Walaupun rupa paras Apple Pencil ini sama seperti generasi kedua, ada sebahagian ciri yang tidak terdapat pada aksesori baru ini.

Sumber: Apple

Walaupun Apple Pencil terbaru ini mempunyai magnet untuk diletak di sisi iPad, aksesori tersebut tidak akan dicas dan pengecasan hanya boleh dilakukan menggunakan kabel sahaja. Namun begitu, Apple Pencil akan berada dalam keadaan sleep mode untuk menjimatkan bateri.

Tanpa fungsi double-tap dan pressure sensitivity, kami tidak rasakan Apple Pencil terbaru ini sesuai melukis atau melakar. Kami masih rasakan Apple Pencil generasi kedua adalah yang paling berguna jika anda menggunakannya dalam bidang kreativiti.

Leave a comment